• Tik tok tik tok tik tok

    Dan waktu pun berlalu. Sepantas kilat yang menyambar. Shutter pada kamera. Kerdipan mata. Selaju itu, sebuah cinta hilang. Sebuah kisah yang sepatutnya menjadi cerita gembira. Permulaannya gembira, pengakhirannya juga gembira. Lewat enam tahun lalu, ketika satu cinta itu sudah ketemu tarikh luput, satu buku sudah tamat halaman cerita, trengkasnya sebuah cinta yang selesai.

    Kalau aku cerita berulang kali, mau muak, mau bosan, mau ramai yang tempiaran lari malas baca cerita ni. Tapi pedulikan, sebab aku rasa terpanggil nak keluarkan cerita ni lagi, menjadi asbab salah satu cara mudah aku mengingati dia. Dia ialah cinta. Cinta datang bertandang barang setahun. Berkenal-kenalan sekitar 2009 dan berangkat-pisah pada 2011. Alahai, terlalu pantas. 

    Cinta ini berbeza. Ia memujuk, tidak pula ada gaduhnya, ia memesan, tidak pula ada salahnya, ia meneman tidak pula ada sunyinya. Cinta kali ini seakan memang datang-tandang-singgah hanya untuk lewat dan kirim salam peringatan. Dunia Allah sementara, akhirat nanti bermula cerita cinta yang kekal abadi In Sya Allah. Kalau dia bercakap, satu dewan senyap mendengar, ilmunya luas, tapi hatinya rendah di dasar laut. Guraunya lembut,pecah tawa orang di sekelilingnya. Tuturnya halus, tidak pernah meninggi. Geraknya lucu, senyumnya manis, peluknya erat, romannya menyimpan 1000 galau.

    Kalau aku boleh putar masa, beberapa detik sebelum dia berangkat, aku mahu dakap dia erat. Tapi jodoh aku dengan dia tiada tertulis. Aku cuma dapat tengok dari jauh sahaja, dapat ikut jejak jasadnya yang tiada bernyawa, dapat hamburkan tangisan rindu. Tangisan cinta. Tangisan yang menahan sedih, sebak, dan gembira kerana dia dah terlepas ujian di dunia.

    Dan waktu pun berlalu. Sedetik kita menoleh. Lena dan tidur dibuai mainan alam mimpi. Selaju itu, enam tahun genap cinta meninggalkan aku. Cuba tanya aku sedih tak dengan pemergian cinta yang sudah injak enam tahun ini? Aku akan geleng, aku tidak menangis lagi. Cinta pergi bukan meninggalkan aku, dia cuma pergi meninggalkan dunia. Nanti-nantikan kami akan ke temu lagi. Usah risau lah. Dia memang sudah dijanjikan syurga. Dia itu cinta yang baik-baik. Dia itu cinta yang disenangi, dapat doa dari kawan-kawan yang sama-sama merasa nikmat cinta yang dia tebarkan percuma, selama dia bergelar cinta. 

    Tik tok tik tok tik tok

    Semoga Jumaat ini, seperti hari kau meninggalkan aku, wahai cinta. Semoga ia redup, dan petangnya ada tangis dari awan, dan malamnya sejuk dan dingin. Seperti gita dan simfoni alam mengiringi kau, cinta hati aku, dan cinta hati mereka yang pernah lewat dalam duniawi ini, mencintaimu. 

    #AKIRINDU

    Tribute 2010/2012//2013/2014