• Usai solat sunat Aidilfitri, aku terus drive Bapak ke kubur Emak. Setiap tahun. Sekarang sudah tahun ke lima. Kami sambut Ramadhan, dan beraya dua beranak sahaja. Semua gara-gara mulut longkang, mulut lancang aku. Tapi aku puas, asalkan mereka sedar akan kesalahan mereka, mereka sepatutnya lebih matang dari aku yang merupakan adik bongsu mereka. Alasan semua tak boleh pakai. Pautan stereng aku kemaskan. Bapak menghela nafas berat.

    "Kenapa pak?"

    "Takde apa-apa. Bapak rindu Along dengan Kak Nur." Aku pula mendengus kasar. Bapak dah biasa dengan response aku, dah lima tahun terbiasa. 

    "Diorang yang masing2 taknak balik beraya, bukan salah saya"

    "Kamu tak nak mengalah dik."

    "Kenapa saya pulak kena mengalah? Kenapa saya pulak kena mintak maaf?"

    Bapak mati akal. Putus kata. Perjalanan terasa lama kali ni. Sesekali aku curi pandang wajah Bapak yang dimakan ungka usia yang mencecah lewat 50an. Masih berkudrat menjaga kami semua dahulu, tiga beradik. Dan sekarang bila meja berputar arah, tiga beradik belum tentu dapat memikul tanggungjawab menjaga seorang Bapak. Ada air mata mengalir senyap tapi cepat disekanya sambil betulkan kopiah. Aku nampak semua tu, tapi hati keras aku degil, dan hati degil aku keras. Aku berhentikan kereta di tepi jalan, beratur kereta parking ditepi jalan, macam nak amik BR1M. 

    Ada yang satu keluarga datang, siap bertikar, berjag-jag air, macam nak buat open house pun ada, ada yang datang cuma bertiga, ada yang berdua seperti aku dan Bapak, dan ada yang seorang diri. Dengan siapa pun mereka datang waima serombongan tiga bas sekalipun, mereka hanya ingin melawat tugu mati bernisan dua terpacak dan kalau baik hati mereka sedekahkan Yassin dan tuangkan siraman air untuk menyejukkan kubur. Ya, menyejukkan kubur dan bukannya jenazah di dalamnya, kerana jenazah di dalamnya belum tentu dapat merasa siraman nun jauh tujuh kaki di atas.

    "Assalamualaikum Emak" aku ucap salam. Duduk berhadapan dengan Bapak dan dia mengepalai bacaan Yassin. Terasa tenang sepanjang bacaan, walaupun kadang2 terdengar gelak ketawa atau tangisan bayi dari pengunjung yang kurang sensitif tentang ziarah kubur. Aneh kerana aku tidak menangis. Cukuplah menangisi mereka yang sudah pergi, kita berdoa sahaja agar roh mereka dicucuri Rahmat Allah s.w.t.

    Usai bacaan Yassin, kami menadah tangan memanjat doa kepadaNya agar segala urusan di alam barzakh hingga urusan di alam akhirat kelak bagi Emak akan dipermudahkan. Amin.

    "Bapak doakan kamu dik."

    "Untuk apa?"

    "Doa bukan untuk orang mati sahaja. Doa untuk orang hidup, orang belum bernyawa, dan untuk orang sesudah mati."

    "Adik tak pernah baca mana2 kitab pun cakap pasal doa untuk orang belum bernyawa"

    "Ada, banyak lagi kitab kamu belum baca" Aku menggaru dahi yang tak gatal. "Dalam semua kitab yang adik baca, pernah terlintas dengan isu memaafkan saudara sendiri?"

    Bapak bangun pergi meninggalkan aku seorangan, namun dia sempat menepuk belakang bahuku. Dia sendiri yang bangun dan angkat kaki. Lelaki hati kering? Tidak pandai mengekspressikan emosi? Menyembunyikan perasaan? Dia dah cukup ekspresskan apa yang dia mahukan, cara Bapak bukan seperti aku yang menggunakan semaksimum desibel yang mungkin agar orang sekeliling rasa terancam dan gerun lalu kalah, Bapak hanya perlu mengucapkan beberapa baris ayat untuk aku terasa sendiri. Itu pengajaran, stail Bapak.

    Eh? Bila masa aku menangis? Ya Allah, terkesan sungguh dengan kata2 Bapak. Bapak sedang berbual dengan kenalan dia agaknya di pintu masuk. Aku terduduk beberapa minit lagi disitu, sambung bercerita pada Emak. Dengar macam gila? Mungkin aku betul gila, tapi aku gila yang percaya Tuhan berkuasa untuk biarkan Emak mendengar leteran dan ceritaku sampai hari perhitungan.

    Dan dari perhitungan aku, empat dinding kaku. Yang nampak sedikit kulat dan lumut sedang cuba bergelut menjalar menumpang memberi sedikit warna pada kusam putih simen murah. Murah ke, mahal ke, kalau dah bertugu dua, berukir nama si pemilik tuan tanah, itu semua sudah tidak dipandang lagi. Yang dipandang cuma sedekah jariahnya, amal ibadahnya, dan juga doa dari anak-anak mereka yang soleh. Wallahualam. 

    Surat Dari Cendawan (2016)
    Selesai

    Inspired by Tiada Tanding, Tiada Banding (An Unpublished Entry Written on 2011)
  • Berdesing telinga. Hangat, panas pipi aku kena lempang.

    "SUDAH!" semua senyap. Bapak muncul depan pintu. "Jasad mak kamu tengah kena soal dalam kubur, belum sempat tanah merah tu kering, kamu semua dah bertikam lidah! Apa benda kamu cakap ni? Nak cari mak baru apa ni? Kamu sedar tak apa kamu gaduhkan ni?"

    "Adik kurang ajar pak" adu Along.

    "Bapak tak pernah ajar kamu bergaduh macam orang hulu begini. Sudah, Nur, siapkan malam ni Bapak nak buat tahlil, orang surau datang. Buatlah apa yang patut." Kak Nur mengangguk. Dia terus bingkas. Abang Salleh mengekorinya. 

    "Mintak maaf sekarang." Bapak berdiri antara aku dengan Along. Masing2 mencebik. "Adik, mintak maaf pada Along." Aku sikit pun takkan tunduk pada ego aku. Along turut berpaling ke arah lain.

    "Baiklah, kalau dua-dua taknak bermaafan, ikut suka kamu. Bapak dah malas nak ikut campur. Silakan, buat apa kamu suka. Masing-masing dah besar." Sindiran dari Bapak membuatkan aku automatik tertoleh ke arah Along, dan pabila Along turut memandang muka aku, kami terus angkat kaki ke arah yang bertentangan. Jangan harap kami nak bermaafan atas dasar ingin menangkan ego.

    Malam itu, selepas Isya' rumah bergema dengan bacaan surah Yassin berjemaah dan bacaan tahlil. Bapak yang jadi ketua bacaan. Aku duduk agak jauh dari Bapak sebab Along duduk selang beberapa jemaah dari Bapak. Jemaah perempuan di dalam rumah, aku nampak Kak Lia tak menang tangan menguruskan tiga anak buas dia. Kak Nur dibantu beberapa orang kenalan arwah mak di dapur. 

    Selepas selesai tahlil, jemaah dijamu ala kadar dan mereka tidak banyak bersuara, ada yang hanya minum sedikit kemudian bersalam dan berpelukan dengan Bapak kemudian minta diri. Bapak berterima kasih atas kesudian mereka hadir pada malam ni dan atas pertolongan mereka sepanjang proses pengurusan jenazah siang tadi. Aku kemaskan apa yang patut. Di dapur, hanya ada aku dan Kak Nur.

    Kedua2nya diam. Ketika aku nak melangkah ke depan. Kak Nur bersuara.

    "Akak nak mintak maaf..."

    "Nak mintak maaf kenapa?"

    "Akak tau, akak tak pernah balik masa mak demam, kau sorang je yang jaga mak dengan Bapak."

    "Akak kan sibuk." Kak Nur sudah tersedu sedan menahan tangisan.

    "Akak nak sangat balik, akak nak tengok muka mak masa mak hidup, akak menyesal sangat sebab tak balik lebih awal. Akak balik-balik je, tengok mak dah takde..." tangisannya makin berat. Abang Salleh terus mendapatkan Kak Nur dan menenangkan dia.

    Along turut bergegas ke dapur bila dia terdengar suara Kak Nur menangis.

    "Kau cari pasal apa lagi dengan Kak Nur?"

    "Saya cari pasal apa? Along ni dah kenapa?"

    "Along, Nur yang..." belum sempat Kak Nur membalas, Along dah maki hamun.

    "Kau tak habis2 nak salahkan Kak Nur kau dah kenapa! Kau faham tak dia pun nak jugak jumpa mak tapi dah jadi macam ni nak buat macam mana?!"

    "Oh, jadi ni salah adik jugak? Mak mati salah adik? Kak Nur tak dapat tengok mak, salah adik? Apa lagi salah adik? APA?!"

    "Mintak maaf dengan Kak Nur."

    "Kalau adik taulah jadi macam ni hari ni, lebih baik korang tak payah balik langsung rumah ni!" Aku angkat kaki keluar. Bapak dah tak larat nak leraikan pergaduhan kami. Dia biarkan sahaja. Penat dan kesedihan dia baru kehilangan isteri tercinta belum habis, anak2 dah buat perangai. Along cuma dapat kejar sampai pintu depan sebelum aku dengar suara Bapak menegah dia dari terus mengejar aku. Aku? Aku lari ke kubur mak.

    Surat Dari Cendawan : Bahagian 2 Tamat
  • "Kalau korang balik awal takde jadi macam ni"

    "Habis adik nak salahkan Along?"

    "Salah semua."

    "Nur keje Long, bila masa Nur nak balik. Memang tak sempat."

    "So, kak Nur balik hari ni semata-mata nak tengok mak kena tanam macam tu?"

    "Jangan kurang ajar dik!"

    Ruang tamu tegang. Aku berdiri. Kak Nur duduk dengan tangan sesekali menyeka air mata yang tak putus jatuh. Abang Salleh, suami Kak Nur hanya diam menenangkan anak tunggal mereka yang hanya dua tahun yang sama macam mak dia, tak berhenti menangis. Along seorang diri, Kak Lia di dalam bilik menidurkan tiga orang anak lelaki mereka yang buas. 

    Sebentar tadi selepas Zohor, barusan selesai jenazah mak kami dikebumikan. Mak meninggal malam tadi bila jantung mak gagal berfungsi akibat jangkitan kuman dalam darah. Sebelum pemergian mak, mak demam hampir dua minggu dan Bapak mengambil keputusan untuk jaga dirumah sahaja. Dan cuba teka siapa yang berada di rumah untuk menjaga mak selama dua minggu? 

    Aku.

    Cuba teka siapa yang tiada di rumah untuk menjaga mak selama dua minggu.

    Along dan Kak Nur.

    Kami cuma tiga beradik sahaja. Mak pernah menjaga kami bila kami serentak demam, tapi bila mak demam, seorang anak belum tentu dapat menjaga seorang mak. Bapak sentiasa ada disisi mak, tapi kudrat bapak tidak begitu kuat, jadi aku perlu menolong untuk mak ke tandas, bila pagi mak nak duduk di luar rumah untuk udara segar, petang juga begitu. Kadang2 mak tak sempat pun ke tandas, mak tak sempat muntah dalam besen yang Bapak sediakan. Cuba teka siapa yang bersihkan semua tu?

    Aku.

    Apa yang membuatkan ruang tamu tegang petang ini, ialah kemarahan aku yang sudah lama aku simpan. Along jarang tengok mak di rumah, kalau dia ada masa di hujung minggu baru dia datang. Alasannya, tiga orang anakknya leceh untuk dikawal ke sana ke mari, susah untuk Kak Lia jaga dan bla bla bla. Kak Nur pulak menggunakan alasan kerja, ya kerja dia memang sibuk, sampai ada yang makan seharian dia di pejabat menyiapkan kerja al maklumlah bos di syarikat sendiri. Abang Salleh menjaga anak mereka seorang diri di rumah. Bila masanya entah dia datang melawat mak.

    "Dulu bukan main Along cakap nak bawak mak duduk dengan Along kalau Along dah ada rumah sendiri, tak payah lah Long, mak dah cukup bahagia dengan rumah kecik ni." Aku beralih pada Kak Nur. "Akak pulak cakap, nak upah orang gaji untuk mak, driver untuk Bapak, siap nak call-in doktor peribadi untuk tengok-tengokkan keadaan mak." Aku jatuhkan pandangan kepada mereka berdua. "BLAHLAH!"

    "Adik jangan nak kurang ajar dekat sini, jaga mulut tu, adik dah lupa, siapa yang bagi duit masa adik belajar? Kak Nur yang biaya tau, kalau Kak Nur tak bagi duit, jangan harap kamu tu nak masuk universiti!" Along meninggi suara.

    "Along..." Kak Nur sambung menangis.

    "Tak guna ada duit banyak." aku tahan getar suara.

    "Apa kau cakap?" soal Along.

    "Tak guna ada duit banyak, kereta mewah, rumah besar, syarikat milion-bilion ringgit, kumpul je duit tu, kita ramai-ramai pergi kedai, beli mak baru!"

    PANG!

    Surat Dari Cendawan : Bahagian 1 Tamat