• Surat Dari Cendawan : Bahagian 3

    Usai solat sunat Aidilfitri, aku terus drive Bapak ke kubur Emak. Setiap tahun. Sekarang sudah tahun ke lima. Kami sambut Ramadhan, dan beraya dua beranak sahaja. Semua gara-gara mulut longkang, mulut lancang aku. Tapi aku puas, asalkan mereka sedar akan kesalahan mereka, mereka sepatutnya lebih matang dari aku yang merupakan adik bongsu mereka. Alasan semua tak boleh pakai. Pautan stereng aku kemaskan. Bapak menghela nafas berat.

    "Kenapa pak?"

    "Takde apa-apa. Bapak rindu Along dengan Kak Nur." Aku pula mendengus kasar. Bapak dah biasa dengan response aku, dah lima tahun terbiasa. 

    "Diorang yang masing2 taknak balik beraya, bukan salah saya"

    "Kamu tak nak mengalah dik."

    "Kenapa saya pulak kena mengalah? Kenapa saya pulak kena mintak maaf?"

    Bapak mati akal. Putus kata. Perjalanan terasa lama kali ni. Sesekali aku curi pandang wajah Bapak yang dimakan ungka usia yang mencecah lewat 50an. Masih berkudrat menjaga kami semua dahulu, tiga beradik. Dan sekarang bila meja berputar arah, tiga beradik belum tentu dapat memikul tanggungjawab menjaga seorang Bapak. Ada air mata mengalir senyap tapi cepat disekanya sambil betulkan kopiah. Aku nampak semua tu, tapi hati keras aku degil, dan hati degil aku keras. Aku berhentikan kereta di tepi jalan, beratur kereta parking ditepi jalan, macam nak amik BR1M. 

    Ada yang satu keluarga datang, siap bertikar, berjag-jag air, macam nak buat open house pun ada, ada yang datang cuma bertiga, ada yang berdua seperti aku dan Bapak, dan ada yang seorang diri. Dengan siapa pun mereka datang waima serombongan tiga bas sekalipun, mereka hanya ingin melawat tugu mati bernisan dua terpacak dan kalau baik hati mereka sedekahkan Yassin dan tuangkan siraman air untuk menyejukkan kubur. Ya, menyejukkan kubur dan bukannya jenazah di dalamnya, kerana jenazah di dalamnya belum tentu dapat merasa siraman nun jauh tujuh kaki di atas.

    "Assalamualaikum Emak" aku ucap salam. Duduk berhadapan dengan Bapak dan dia mengepalai bacaan Yassin. Terasa tenang sepanjang bacaan, walaupun kadang2 terdengar gelak ketawa atau tangisan bayi dari pengunjung yang kurang sensitif tentang ziarah kubur. Aneh kerana aku tidak menangis. Cukuplah menangisi mereka yang sudah pergi, kita berdoa sahaja agar roh mereka dicucuri Rahmat Allah s.w.t.

    Usai bacaan Yassin, kami menadah tangan memanjat doa kepadaNya agar segala urusan di alam barzakh hingga urusan di alam akhirat kelak bagi Emak akan dipermudahkan. Amin.

    "Bapak doakan kamu dik."

    "Untuk apa?"

    "Doa bukan untuk orang mati sahaja. Doa untuk orang hidup, orang belum bernyawa, dan untuk orang sesudah mati."

    "Adik tak pernah baca mana2 kitab pun cakap pasal doa untuk orang belum bernyawa"

    "Ada, banyak lagi kitab kamu belum baca" Aku menggaru dahi yang tak gatal. "Dalam semua kitab yang adik baca, pernah terlintas dengan isu memaafkan saudara sendiri?"

    Bapak bangun pergi meninggalkan aku seorangan, namun dia sempat menepuk belakang bahuku. Dia sendiri yang bangun dan angkat kaki. Lelaki hati kering? Tidak pandai mengekspressikan emosi? Menyembunyikan perasaan? Dia dah cukup ekspresskan apa yang dia mahukan, cara Bapak bukan seperti aku yang menggunakan semaksimum desibel yang mungkin agar orang sekeliling rasa terancam dan gerun lalu kalah, Bapak hanya perlu mengucapkan beberapa baris ayat untuk aku terasa sendiri. Itu pengajaran, stail Bapak.

    Eh? Bila masa aku menangis? Ya Allah, terkesan sungguh dengan kata2 Bapak. Bapak sedang berbual dengan kenalan dia agaknya di pintu masuk. Aku terduduk beberapa minit lagi disitu, sambung bercerita pada Emak. Dengar macam gila? Mungkin aku betul gila, tapi aku gila yang percaya Tuhan berkuasa untuk biarkan Emak mendengar leteran dan ceritaku sampai hari perhitungan.

    Dan dari perhitungan aku, empat dinding kaku. Yang nampak sedikit kulat dan lumut sedang cuba bergelut menjalar menumpang memberi sedikit warna pada kusam putih simen murah. Murah ke, mahal ke, kalau dah bertugu dua, berukir nama si pemilik tuan tanah, itu semua sudah tidak dipandang lagi. Yang dipandang cuma sedekah jariahnya, amal ibadahnya, dan juga doa dari anak-anak mereka yang soleh. Wallahualam. 

    Surat Dari Cendawan (2016)
    Selesai

    Inspired by Tiada Tanding, Tiada Banding (An Unpublished Entry Written on 2011)

    2 comments → Surat Dari Cendawan : Bahagian 3

    1. Thanks for this :D

    2. Tak pernah tak best :') Thumbs up! ^^