Berdesing telinga. Hangat, panas pipi aku kena lempang.
"SUDAH!" semua senyap. Bapak muncul depan pintu. "Jasad mak kamu tengah kena soal dalam kubur, belum sempat tanah merah tu kering, kamu semua dah bertikam lidah! Apa benda kamu cakap ni? Nak cari mak baru apa ni? Kamu sedar tak apa kamu gaduhkan ni?"
"Adik kurang ajar pak" adu Along.
"Bapak tak pernah ajar kamu bergaduh macam orang hulu begini. Sudah, Nur, siapkan malam ni Bapak nak buat tahlil, orang surau datang. Buatlah apa yang patut." Kak Nur mengangguk. Dia terus bingkas. Abang Salleh mengekorinya.
"Mintak maaf sekarang." Bapak berdiri antara aku dengan Along. Masing2 mencebik. "Adik, mintak maaf pada Along." Aku sikit pun takkan tunduk pada ego aku. Along turut berpaling ke arah lain.
"Baiklah, kalau dua-dua taknak bermaafan, ikut suka kamu. Bapak dah malas nak ikut campur. Silakan, buat apa kamu suka. Masing-masing dah besar." Sindiran dari Bapak membuatkan aku automatik tertoleh ke arah Along, dan pabila Along turut memandang muka aku, kami terus angkat kaki ke arah yang bertentangan. Jangan harap kami nak bermaafan atas dasar ingin menangkan ego.
Malam itu, selepas Isya' rumah bergema dengan bacaan surah Yassin berjemaah dan bacaan tahlil. Bapak yang jadi ketua bacaan. Aku duduk agak jauh dari Bapak sebab Along duduk selang beberapa jemaah dari Bapak. Jemaah perempuan di dalam rumah, aku nampak Kak Lia tak menang tangan menguruskan tiga anak buas dia. Kak Nur dibantu beberapa orang kenalan arwah mak di dapur.
Selepas selesai tahlil, jemaah dijamu ala kadar dan mereka tidak banyak bersuara, ada yang hanya minum sedikit kemudian bersalam dan berpelukan dengan Bapak kemudian minta diri. Bapak berterima kasih atas kesudian mereka hadir pada malam ni dan atas pertolongan mereka sepanjang proses pengurusan jenazah siang tadi. Aku kemaskan apa yang patut. Di dapur, hanya ada aku dan Kak Nur.
Kedua2nya diam. Ketika aku nak melangkah ke depan. Kak Nur bersuara.
"Akak nak mintak maaf..."
"Nak mintak maaf kenapa?"
"Akak tau, akak tak pernah balik masa mak demam, kau sorang je yang jaga mak dengan Bapak."
"Akak kan sibuk." Kak Nur sudah tersedu sedan menahan tangisan.
"Akak nak sangat balik, akak nak tengok muka mak masa mak hidup, akak menyesal sangat sebab tak balik lebih awal. Akak balik-balik je, tengok mak dah takde..." tangisannya makin berat. Abang Salleh terus mendapatkan Kak Nur dan menenangkan dia.
Along turut bergegas ke dapur bila dia terdengar suara Kak Nur menangis.
"Kau cari pasal apa lagi dengan Kak Nur?"
"Saya cari pasal apa? Along ni dah kenapa?"
"Along, Nur yang..." belum sempat Kak Nur membalas, Along dah maki hamun.
"Kau tak habis2 nak salahkan Kak Nur kau dah kenapa! Kau faham tak dia pun nak jugak jumpa mak tapi dah jadi macam ni nak buat macam mana?!"
"Oh, jadi ni salah adik jugak? Mak mati salah adik? Kak Nur tak dapat tengok mak, salah adik? Apa lagi salah adik? APA?!"
"Mintak maaf dengan Kak Nur."
"Kalau adik taulah jadi macam ni hari ni, lebih baik korang tak payah balik langsung rumah ni!" Aku angkat kaki keluar. Bapak dah tak larat nak leraikan pergaduhan kami. Dia biarkan sahaja. Penat dan kesedihan dia baru kehilangan isteri tercinta belum habis, anak2 dah buat perangai. Along cuma dapat kejar sampai pintu depan sebelum aku dengar suara Bapak menegah dia dari terus mengejar aku. Aku? Aku lari ke kubur mak.
Surat Dari Cendawan : Bahagian 2 Tamat
1 comments → Surat Dari Cendawan : Bahagian 2
Along dengarlah dulu apa adik nak cakap.
Post a Comment