• Sanctuari

    12/9/2018

    Hidup kalau mengikut kehendak hati, mati. Kau cari kedamaian dari pundak seorang lelaki, kau tak akan aman dengan nafsu dia yang berubah-ubah macam pantai kena bah dengan ombak. Kau cari ketenangan dengan genggaman tangan pasangan kau, seperti menggenggam bara api yang sah belum punya ikatan halal, tapi kau halalkan ikut budaya dan akhirnya kau bakar diri sendiri. Sejauh mana janji seorang anak Adam itu boleh dipercayai? Dalam sejarah manusia, kau tak payah Islamisasikan cerita ni, nabi Adam dibuang syurga kerana terikut hasutan pasangannya Hawa makan buah larangan. Siapa yang punya angkara? Kau nak salahkan Hawa? Hawa pun kena goda dengan makhluk api tu. Memang naluri seorang yang bernama manusia, mengikut nafsu dan melanggar peraturan. Tapi hanya asbab kita diberikan akal oleh Allah S.W.T, kita dipilih menjadi khalifahNya di muka bumi untuk mengepalai sekalian makhluk. Jangan kita sendiri yang menjadi makhluk mengikut nubari dan bukan akal fikiran kurniaanNYA.

    Entah kenapa Iji terasa cendol Jalan Kubur pahit semacam. Dia menolak mangkuk cendol tadi perlahan. Win memandang Iji hairan. 

    “Kau yang ajak aku menyendol, kenapa tak makan?” Win setia menyuap mee ayam panas-panas berwap kaca mata dia.

    “Aku tak selera.” Iji tak pandang muka Win. Win meletakkan sudunya ke dalam mangkuk dan berpaling ke arah Iji.

    Win mengeluh. Dia memandang Iji dengan pandangan simpati. 

    “Dia yang minta putus Win, aku ni, masih sayangkan dia” 

    “Ya, betul. Dah seribu kali aku dengar lelaki tu yang minta putus, bukan kau. Dan seribu kali juga aku dengar kau cakap kau masih sayangkan dia. Aku tak suruh kau putus asa pasal perasaan kau dekat dia, aku nak nasihatkan kau untuk tak putus asa dengan hidup kau”

    “Aku dah cuba nak lupakan dia Win. Macam ni rupanya rasa kena buang,”

    “Hey” Win memandang Iji tepat ke dalam dua biji matanya. ”Kau nak salahkan siapa?” Iji senyap. “Kau nak salahkan dia? Sebab minta putus? Kau nak salahkan diri kau? Sebab kononnya kau bukan yang terbaik untuk dia? Kau nak salahkan siapa? Tuhan? Senang-senang cakap, jodoh tak panjang, macam tu?” Mata Iji berkaca.

    “Orang kahwin 50 tahun pun boleh bercerai Iji, ini kan korang yang baru tiga tahun BERCINTA, tak ada hubungan halal akad ke apa.”

    “Tiga tahun ni lama tau, aku turutkan setia aku untuk dia seorang je.” Iji mengelap air matanya yang mengalir laju.

    “Kat situlah kau silap Ji, benda pelik pasal setia ni, soal hati. Kau ingatkan aku balik, dia cakap apa dekat kau masa dia minta putus haritu?” Iji berpaling. Enggan menjawab soalan Win.

    “Dia rasa kosong, dia dah tak ada perasaan Ji. Sebab tu aku cakap, soal hati ni bukan boleh kita pegang masuk dalam sampul, gam guna gam gajah, bukan kerja kita. Bergolok gadai nak membuktikan cinta seutuh gunung mana pun, kalau hati dia tu dah memang tak nak dekat kita, memang tak boleh buat apa dah.” Iji mula menangis. Dia tidak pedulikan pelanggan lain di warung.

    “Bukan kau sepatutnya pujuk aku ke?” Win geleng.

    "Itulah yang pelik bin hairan pasal cinta ni Iji, kita memang boleh suka dekat sesiapa pun yang kita nak suka, tapi kena ingat, diorang pun boleh" Win mengusap bahu Iji perlahan.
    ...

    Iji terdetik sendiri. Lama dia merenung ke bawah, boleh tahan jauh menjunam gaung Bukit Kluang ni. Takkan dia nak cabut nyawa sendiri? Habis tu malaikat pencabut nyawa nak buat apa? Goyang kaki? Dia biarkan angin kuat menampar pipinya, membelai rambutnya, terasa lebih nyaman dari tangan kasar lelaki bertopeng syaitan yang membelai rambutnya sebelum ini. Kepura-puraan. Dia teringat apa yang dia hamburkan pada Win.

    “Kalau ini keputusan dia, aku akan tutup pintu hati aku sampai bila-bila! Biarlah! Biar aku tak kahwin sampai hujung nyawa aku!”

    Iji tersengih sendiri. Manusia, kalau sedang berkocak emosi, segala kata cacian dia muntahkan, segala benda yang dia pernah suka jadi benci, segala kata kesat yang dia tak suka dengar dia yang luahkan sendiri. Kalau pun betul yang dia nak tutup pintu hati buat selama-lamanya, agar tak ada seorang kaum Adam pun dapat tembus nak jual madah cinta palsu dengan dia lagi, dia tersentak. Kononnya pandu jauh sampai ke negeri orang nak cari ketenangan, dah panjat bukit sampai mengah tak cukup oksigen ke otak, kaki nak tercabut, masih tak dapat ketenangan yang dicari-cari. Sekali lagi dia teringat, tetapi kali ini apa yang Win hamburkan pada dia.

    “Kat mana pun kau hilangkan diri mencari ketenangan, mencari diri kau sendiri, kalau Allah tak izinkan, kau tak akan dapat ketenangan tu. Kau pernah bagitahu aku, Dia yang pegang hati orang, Dia boleh buat orang tu suka pada kita, atau pun benci pada kita, tapi kau jangan lupa Ji, Dia juga yang pegang hati kau. Dengan izin Dia yang Maha Kuasa, Dia sahaja yang boleh berikan kau ketenangan. Total.”

    Iji meraup romannya yang tak sedar dah basah beberapa titis air matanya mengalir laju. Awan kumulonimbus bersatu perlahan. Mendung berarak memayungi bukit Kluang. Tanda hari nak hujan. Baiknya hari akan sejuk dan dingin, yang tak baiknya, Iji akan terperangkap atas bukit Kluang. Dia mengatur langkah untuk hike-down. Sebelum itu, dia pandang merinding ke hadapan. Pulau Perhentian Besar, ke hadapan lagi, terbentang luas Laut China Selatan. Kalau ke utara sedikit sudah masuk ke Teluk Thailand, kalau ke Selatan lagi sudah masuk ke Archipelago Riau.

    Usai dia menjejak kaki ke tanah rata, dia terus menuju ke sebuah surau berdekatan. Dia sucikan diri dengan wudhu dan solat hajat dua rakaat. Semahunya dia berdoa dalam sujud rakaat terakhir. Iji bangun memberi salam. Dia menadah tangan, meminta doa bukan untuk dijodohkan dengan orang yang baik-baik lagi, dia minta agar hatinya kuat menongkah dugaan yang Tuhannya sendiri dah tulis untuknya.

    Dia fokus ke hadapan, tirai yang menghalang ruang solat lelaki dan perempuan. Dan saat dia merinding tertumpu ke hadapan itulah hatinya dijentik oleh Tuhan. Iji mendapat ketenangan yang dia cari, meditasi dari pemanduan dia beratus kilometer dari ibu kota semata-mata ingin mencari kesejahteraan hati. Bukan di atas puncak bukit tinggi Tuhan berikan kedamaian itu, Dia rindukan doa-doa hambaNya yang sedang berduka lara. Atas hamparan bersujud kepadaNya, Iji mengalirkan air mata terharu. Dia hanya merancang, tapi perancangan Allah itulah rancangan yang paling baik. Lantas dia sujud syukur.

    "Aku berbisik pada bumi-Mu ya Allah, agar terdengar di langit-Mu"

    Tamat.

    2 comments → Sanctuari